Sunday, November 16, 2008

Beri Suami Sesuatu Agar Dia Menceraikan Isterinya

" Suatu perceraian berbayar dari isteri atau lain dari isteri kepada suami dengan mengunakan lafaz talak, khulu' atau tebus talak "
Istilah Fiqh


KHULU' adalah singkatan nama bagi perceraian berbayar ini, khulu adalah perkataan arab yang memberi erti menghilangkan atau menanggalkan

Ulama Fiqh menggunakan kalimah ini kerana melihat kepada


Maksud Firman Allah "isteri isteri itu merupakan pakaian bagi kamu dan kamu juga merupakan pakaian bagi mereka" Ayat 187: Surah Al-Baqarah

Apabila Lelaki dan Wanita sudah dinikahkan maka si lelaki menjadi pakaian kepada isteri dengan ertikata lain si isteri "memakai" suami, begitu juga sebaliknya kepada isteri, menjadi ia pakaian kepada suami.

Apabila lafaz berkenaan tawaran menebus perceraian dengan bayaran dilafazkan dan suami bersetuju untuk menerima tawaran tersebut,dan suami telahpun menerima bayaran tebus talak, maka si suami tidak boleh lagi memakai isterinya,ini kerana si suami telah menanggalkan kelayakan untuk memakai isterinya, dengan ertikata lain si suami telah menceraikan isterinya.

BUKTI KEWUJUDAN KHULU' DALAM ISLAM

Al - Quran


Maksud Firman Allah Surah Al Baqarah Ayat 229.

" talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.

sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) Dengan cara Yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) Dengan cara Yang baik

dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa Yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri Yang diceraikan itu)

kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. oleh itu kalau kamu khuatir Bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah,

maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) Yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya;

dan sesiapa Yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim "

HADITH

Maksud HADITH

Diriwayatkan daripada ' Ikrimah

Ikrimah meriwayatkan daripada Ibni Abbas r.a

Ibni Abbas r.a berkata

"Telah datang isteri Thabit bin Qais bin Syammas menemui Rasullullah s.a.w,
lalu ia berkata
"Ya
Rasullullah, saya tidak menaruh dendam ke atas thabit tentang agama dan akhlak beliau,
akan tetapi saya takutkan kekufuran"
Maka jawab Rasullulah
"Apakah kamu mahu pulangkan kebunnya"
lantas beliau menjawab
"ya"
selepas itu Isteri
Thabit bin Qais bin Syammas memulangkan kebun itu kepada Thabit bin Qais bin Syammas, setelah pemulangan tersebut Rasullulah menyuruh menceraikannya.

Riwayat Al-Bukhori

KESEPAKATAN ( Ijma )

Sepakat para Ulama bertaraf mujtahidin tentang wujudnya sistem perceraian khulu' didalam Islam.


Hukum melakukan Cerai Khulu'
  • Hukum asal adalah Makruh, kerana sehalal halal perkara yang dibenci Allah adalah talak (Makruh bermaksud "yang dibenci")
  • Jika pasangan berakhlak buruk dengan pasangannya, maka hukumnya adalah sunat

  • Untuk mengelak dari berlakunya talak 3 (talak bermaksud cerai), yakni setelah hak talak raji'e habis, dalam hal keadaan suami telah melafazkan cerai bersyarat seperti " aku ceraikan kau kalau kau makan, minum atau masuk rumah. maka jalan penyelesaian untuk mengelakkan talak 3 berlaku adalah menawarkan cerai khulu', hukumnya adalah harus

  • TERBATAL , KHULU' terbatal apabila suami dengan sengaja berkelakuan buruk terhadap isteri dengan niat supaya isteri menawarkan bayaran bagi menceraikannya (khulu'). Dalam hal ini, apabila tawaran perceraian khulu dipersetujui oleh si suami, perceraian berlaku, dan suami tidak layak mendapat bayaran dari pihak yang menawarkan khulu' kerana menceraikan isterinya, apa yang berlaku adalah perceraian biasa.
Rukun Khulu'
  1. Sighah
  2. Suami
  3. Isteri
  4. Individu yang membayar tebus talak
  5. Bayaran tebus talak
Perincian bagi setiap rukun diatas atau dengan kata lain syarat - syarat bagi setiap rukun khulu yang 5 diatas

1. Lafaz/Sighah Ijab dan qabul tidak diselangi diantara Lafaz Ijab dan Qabul perkataan yang menyebabkan Lafaz Sighah Ijab dan Qabul Rosak, dengan kata lain Lafaz tidak boleh diselangi dengan perkataan yang tidak relevan dengan Sighah Ijab dan Qabul.Dibolehkan berlaku selingan percakapan yang sedikit, kerana khul merupakan mu'awadzah ghair mahdzah yakni akad yang tidak sepenuhnya bersifat pertukaran.

Sighah khulu'
Kinayah oleh pihak suami sah dipakai.

Sighah
khulu' mestilah tanpa taqliq dan tanpa batasan waktu

Tidak boleh diam yang lama atau amat lama diantara sighah ijab dan qabul.

2. Suami mestilah seorang yang Mukalaf, yakni si suami adalah seorang yang sah untuk menjatuhkan talaknya.

3.Isteri yang sedang dalam iddah talak raji'e boleh dikhulu', kerana suami masih mempunyai hak untuk membuat pilihan samaada bersatu kembali atau berpisah.

4.Individu yang bertanggungjawab membayar tebus talak mestilah tidak tergolong dalam golongan yang terhalang dari menguruskan hartanya. Orang yang membayar tebus talak mestilah tidak dihalang dari menguruskan hartanya sendiri (mutlaq tasarruf)

5.Disyaratkan ciri - ciri bayaran untuk menebus talak dari suami merupakan sesuatu yang dikehendaki oleh suami dan ia mampu diserahkan kepada suami.Dibolehkan dalam bentuk hutang, manfaat, barang atau harta.

Tidak Terjadi Talak Khulu' jika tawaran bayaran bagi menebus talak itu terdiri dari binatang yang melata, contohnya burung yang terbang diudara atau ikan yang berada didalam laut, bahkan apa yang akan berlaku jika tawaran tersebut diterima adalah talak raji'e, tanpa wajib membayar jumlah bayaran tawaran tebus talak khulu' itu.

Tidak Terjadi Talak Khulu' juga jika tawaran bayaran bagi menebus talak itu terdiri dari sesuatu yang haram atau fasid, seperti arak dan bangkai yang haram dimakan, maka apa yang akan berlaku jika tawaran tersebut diterima adalah talak bain beserta bayaran mahar mithil kepada suami.Demikian juga jika tawaran bayaran bagi menebus talak itu terdiri dari sesuatu yang tidak diketahui kadarnya, seperti suami khul isterinya dengan kain yang tidak diketahui kadar dan nilainya.


Khulu' tanpa menyebut jumlah bayaran

contohnya si suami berkata kepada isterinya

"aku khulu' kan engkau"

lafaz ini tidak jelas, boleh jadi niat dihati si suami melafazkan pernyataan khulu' itu dengan dengan harapan supaya isterinya menerima tawaran tersebut atau tanpa sebarang niat kepada isterinya untuk membalas lafaz khulu'nya dengan jawapan terima, yakni bersetuju untuk bercerai khulu'.

Tentang Hal ini perinciannya adalah seperti berikut ;

Pertama : Lafaz Khulu' tanpa menyebut jumlah bayaran dengan Niat mengharap diterima

Jika si isteri mengiyakan, menerima lafaz tawaran tebus talak tanpa menyebut bayaran tersebut, maka apa yang berlaku adalah sah lafaz khulu' itu dan perceraian berlaku apabila si isteri membayar tebus talak kepada suami dengan bayaran mahar mithil, kerana urf dan kebiasaannya dilakukan dengan bayaran.

Jika si isteri tidak menerima tawaran tebus talak maka tidak jatuh talak sama sekali.

Jika tawaran itu dilafazkan kepada seseorang yang ajnabi, kemudian ajnabi itu pula mengiyakan, menerima lafaz tawaran tebus talak itu, maka jatuhlah talak isterinya percuma tanpa bayaran.

Kedua : Lafaz Khulu' tanpa menyebut jumlah bayaran dengan Tidak Berniat Meminta Diterima

Jatuhlah talak raji'e, walaupun si isteri mengiyakan, menerima lafaz tawaran tebus talak tersebut.

Hukum bagi Lafaz Khulu' yang disebut bayaran.

Apabila suami memulakan lafaz khulu' seperti
" aku ceraikan kau dengan satu ribu ringgit!!"
atau
" Aku talak kamu dengan satu ribu ringgit"
atau
"aku khulu' kamu dengan seribu ringgit"

lafaz ini dinamakan mua'awadzah, ini kerana suami mengambil bayaran sebagai gantian kepada jimak yang mana ia berhak.

walaubagaimanapun sighah ini tidak sepenuhnya
mua'awadzah bahkan padanya mengandungi lafaz taqliq kerana jatuh talak itu bergantung kepada ia diqabulkan oleh isteri,Jika isteri tidak bersetuju dengan tawaran suami itu maka talak tidak berlaku.

Untuk Lafaz Khulu' itu menjadi sah, maka disyaratkan qabul oleh isteri(persetujuan) berlaku dengan segera , yakni dalam majlis yang berlaku ijab (tawaran tebus talak ).